.:: Kata-kata Hikmah ::.

Life is like a ship...therefore strengthen ur ship coz the ocean is very deep and the journey is very long...

Friday, February 13, 2009

Akhlak Rasulullah Adalah Al-Quran


Akhlak mulia adalah buah iman yang terhunjam di lubuk hati nurani seorang manusia. Orang yang sempurna imannya semestinya di sana dia memiliki akhlak yang sempurna. Sebaliknya orang yang runtuh akhlaknya menunjukkan atas keruntuhan iman yang ada di dalam dadanya.

Akhlak mulia adalah ciri utama bagi setiap muslim yang beriman kerana hakikat iman itu apabila ia wujud di dalam hati maka ia mampu memelihara segala tindakan dan perbuatan seseorang. Malah orang yang beriman bahawa Allah Taala itu mengetahui segala perbuatannya dan dia yakin bahawa Allah Taala akan membalas segala perbuatan yang dilakukannya itu pada hari Akhirat sudah pasti dia tidak berani melanggar dan melakukan sebarang maksiat baik terhadap Allah seperti meninggalkan solat fardhu mahupun terhadap makhluk seperti mengambil hak orang lain.

Dalam hal ini Rasulullah S.A.W ada bersabda yang maksudnya :

" Tidak sempurna iman seseorang itu yang tidak ada pada dirinya sifat amanah"
(hadis riwayat Ahmad)

Maka demikian, kita mendapati bahawa Rasulullah S.A.W. adalah orang yang paling sempurna imannya. Ini adalah berdasarkan kepada kesempurnaan akhlak dan keperibadian Baginda S.A.W yang tinggi. Jadi, manusia yang paling tinggi tingkatan keimanannya ialah manusia yang paling tinggi akhlak dan budi pekertinya sehingga ketika Saidatina 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha ditanya tentang akhlak dan sifat Baginda S.A.W, maka beliau menjawab :

"Akhlak Rasulullah S.A.W itu adalah Al-Qur'an"
(hadis riwayat muslim)

Maksudnya, Rasulullah S.A.W adalah memiliki akhlak yang paling tinggi seperti yang diterangkan di dalam al-Qur'an kerana Baginda S.A.W telah mengamalkan segala sifat-sifat kemuliaan yang diperintahkan di dalam Al-Qur'an dan Baginda S.A.W telah meninggalkan segala sifat-sifat kecelaan yang telah dilarang di dalam Al-Qur'an. Maka di sini, yakin dan percayalah bahawa Rasulullah S.A.W itu merupakan contoh tauladan yang hidup kepada segala akhlak mulia yang dikehendaki di dalam Al-Qur'an.

Ketinggian dan kemuliaan akhlak Baginda S.A.W telah diakui oleh para sahabat, yang merupakan kawan malah diakui juga oleh musuh dan lawannya. Begitu banyak peristiwa-peristiwa yang mana disebutkan di dalam riwayat hidupnya. Apatah lagi bilamana Allah meyakinkan dan menegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berada di atas akhlak yang sangat agung (mulia)"
( surah al-Qalam : 4 )

Oleh itu, Allah Taala menyuruh kita sebagai umat kekasih-Nya supaya mengikuti kesemua akhlak yang ada pada diri Rasulullah S.A.W dan menjadikan baginda S.A.W itu sebagai ikutan dan teladan sepertimana disebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Sesungguhnya bagi kamu semua pada diri Rasulullah itu merupakan contoh tauladan yang baik"
( surah al-Ahzab : 12 )

Begitulah sebagaimana dalam hadis Baginda S.A.W, yang mana telah dinyatakan di dalam sabdanya:

"Hanyasanya aku ( Muhammad ) diutuskan ( oleh Allah Taala ) bagi menyempurnakan akhlak yang mulia"
( hadis riwayat malik di dalam muwatta' )

Jelaslah kepada kita tentang tujuan Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah Taala bagi mengajar hamba-hamba-Nya dan umat-umat kekasih-Nya berakhlak mulia sama ada terhadap diri-Nya mahupun terhadap sesama makhluk-makhluk-Nya. Al-Qur'an dan al-Hadis telah memaparkan kepada kita contoh-contoh yang ideal daripada ketinggian akhlak Baginda S.A.W dan memuatkan tunjuk ajar yang Baginda S.A.W berikan untuk membimbing kita ke arah kesempurnaan akhlak yang merupakan gambaran luar terhadap kekuatan iman yang menghunjam di dalam diri dan hati kita.

Sama-samalah kita berdoa, mudah-mudahan Allah S.W.T senantiasa melimpahi taufiq dan hidayah-Nya kepada kita sehinggalah kita dapat mengikuti dan mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W sesempurnanya. Malah, sama-samalah kita panjatkan doa semoga kita dikumpulkan di padang Mahsyar kelak bersama-sama dengan Baginda S.A.W dan mendapat syafa'at 'uzma daripada Baginda S.A.W.

Berdoalah sehari-hari, semoga kita dikumpulkan di dalam syurga Firdaus bersama-sama dengan Baginda S.A.W dan bersama-sama dengan hamba-hamba Allah yang soleh...

Amien Ya Rabbal 'Alamin...

1 comments:

miminapis said...

assalamualaikum,

untuk surah al-ahzab yang menceritakan ayat tersebut, adalah pada ayat 21. bukan pada ayat 12.
mungkin, typing error.

wallahu'alam.

Post a Comment